KUANTAN: Seorang wanita yang dilaporkan hilang di kawasan benteng Sungai Kuantan, di sini telah ditemukan lemas petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Tan Kah Choo, berusia 67 tahun dan berasal dari Taman Seri Kuantan.

Timbalan Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terapung, berhampiran kilang air batu kira-kira dua kilometer dari lokasi dilaporkan terjatuh.

Menurutnya, pihaknya mendapat panggilan berkaitan kejadian itu daripada pihak polis memaklumkan terdapat orang yang hilang, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat awal, pihak polis memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Pihak berkuasa turut menemui satu beg, selipar buku rawatan psikiatri milik mangsa di lokasi berdekatan restoran makanan segera yang juga berhadapan dengan hospital berkenaan, dekat situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Wanita dipercayai hilang di Sungai Kuantan

Sementara itu, katanya lagi, operasi pencarian ini turut dibantu beberapa agensi lain termasuk pihak polis.

“Terdahulu,  bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDM) Kuantan telah melakukan ‘size- up’ bagi memudahkan pencarian.

“Operasi juga telah menggunakan sebuah bot aluminium bagi  pencarian di sungai,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya telah menerima laporan mengatakan mangsa tidak pulang ke rumah sejak dua hari lepas.